PENGENALAN

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah sebuah organisasi pendidikan bawah pemilikan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul.

SEJARAH RINGKAS PASTI

Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an.
Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat pendidikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama Tadika Islam.

Antara negeri yang awal melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Seawal tahun 1980, lahir pusat-pusat pendidikan prasekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI).

Pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS di Terengganu. Di Kelantan pula, pusat pendidikan prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988.

Di Kedah dan beberapa negeri lain, khususnya di sebelah utara telah wujud prasekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri masing-masing hasil daripada penyelarasan semula semua TASKI yang dimiliki oleh ahli-ahli PAS pada tahun 1987.

Tanggal 10 April 1987, Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak divwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk yang dipengerusikan oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia. Pada tahun 1989, pengurusan PASTI telah diletakkan di bawah Lajnah Tarbiyah dan Kepengarahan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dipengerusikan sendiri oleh Ustaz Abu Bakar Chik dengan Ustaz Abu Bakar Abdullah sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama. Pada 21 Julai 1991, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengarahkan semua PASTI menggunakan logo rasmi PASTI dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oeh Dewan Pemuda PAS Malaysia.

PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ni. Kelas-kelas PASTI di semua negeri terus bertambah dari sehari ke sehari. Kini, tadika PASTI telah diiktiraf oleh pelbagai pihak dan dianggap prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia.

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

FALSAFAH PENDIDIKAN GURU

Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.

FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampai ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.

FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI

Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan. Berdasarkan potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognotif, psikomotor, bahasa, sosio-emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah SWT di dunia dan di Akhirat.

VISI PASTI

Melahirkan kanak-kanak soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan pra-sekolah berteraskan Islam

MATLAMAT PENUBUHAN PASTI

MATLAMAT AM

a) Mengembalikan kefahaman masyarakat umum kepada menyedari kepentingan pendidikan
Islam dan merangsang kepekaan kebangkitan Islam sejagat.

b) Mengadakan pendidikan awal (prasekolah) bagi melahirkan insan yang beriman, berilmu,
beramal soleh dan berakhlak mulia.

c) Menyediakan wadah awal pendidikan berorientasikan harakah Islamiyah untuk jangka masa panjang.

d) Menjadi pusatuntukmembentuk fikrah masyarakat yangsedang mengalami dan menghadapi keruntuhan aqidah dan akhlak akibat dari serangan ideologi sekular dan kebendaan.

e) Menyedarkan masyarakat umum tentang hakikat tarbiyah Islamiyah.

MATLAMAT KHAS

a) Menyedarkan dan meningkatkan kesempurnaan tauhid agar beramal dengan setiap kebaikan yang diredhai Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap kemungkaran yang dimurkai Allah SWT.

b) Membentuk peribadi insan agar mencontohi peribadi mulia Rasulullah SAW.

c) Memberi galakan kepada anak-anak secara intensif agar mereka dapat menjiwai fitrah kelahiran manusia dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT.

d) Memberi kesedaran betapa pentingnya bahasa sebagai alat komunikasi dalam kehidupan seharian terutamanya bahasa Al-Quran.

 

OBJEKTIF PENDIDIKAN PASTI

Menyediakan proses pendidikan awal yang berorientasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.

  1. Mendidik jiwa dan akal anak-anak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran AI-Quran dan Hadis.
  2. Membimbing anak-anak supaya menghayati ibadah, akhlak dan cenderung melakukan makruf
    serta meninggalkan mungkar.
  3. Melatih anak-anak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran, doa dan zikir.
  4. Memberi pengetahuan kepada anak-anak asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah
    kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal.

 

PIAGAM PELANGGAN PASTI
  1. Pelajar dapat menguasai kemahiran asas 5M (Membaca, Menulis, Mengira, Menghafal dan Mengamal) selepas tamat pengajian di PASTI dengan sempurna.
  2. Sentiasa mengemaskini proses pengajaran dan pembelajaran selari dengan perkembangan terkini dunia Pendidikan.
  3. Menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif bagi menjamin persekitaran pembelajaran yang sihat.
  4. Sentiasa bersikap terbuka dan proaktif terhadap setiap teguran, saranan dan padanan ke arah kecemerlangan pendidikan PASTI.
  5. Sentiasa mengembangkan potensi pelajar berdasarkan kecenderungan bakat dan kebolehan masing-masing.
  6. Menawarkan perkhidmatan yang mesra & sedia membantu pelanggan.
LOGO PASTI

Penerangan Logo PASTI

a) Logo PASTI berbentuk bulat bagi melambangkan Islam itu bersifat sejagat dan menyeluruh.
b) Latar belakang putih / melambangkan nur hidayah Allah SWT yang sentiasa terpancar bagi hambaNya yang berusaha mencari keredhaan-Nya.
c) Melambangkan tenaga pengajar di Pusat Asuhan Tunas Islam mendidik anak- anak lelaki dan perempuan yang berteraskan ilmu Islam dan fikrah Islamiyah.
d) Al-Quran dan Hadis sebagai sumber rujukan pentarbiyahan anak-anak PASTI demi membentuk satu generasi qudwah hasanah.

Warna Logo PASTI

i) Putih melambangkan kesucian Islam.
ii) Hijau melambangkan kesuburan, iaitu setiap benih itu perlu kepada baja dan perhatian
agar menjadi insan yang bertakwa.
iii) Merah melambangkan semangat yang tinggi dalam usaha menawarkan perkhidmatan pendidikan berteraskan Islam kepada masyarakat Malaysia.

LAGU PASTI

PASTI CEMERLANG ISLAM GEMILANG

Al-Quran As-Sunnah pegangan kami
Islam cita-cita murni
Allah matlamat kami
Akhlak mulia idaman kami

Kami harapan Ummah
Di PASTI kami diasuh … diasuh
PASTI pasti berjaya
PASTI pastikan cemerlang … cemerlang
Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (2X)

Kami harapan Ummah
Di PASTI kami diasuh … di asuh
PASTI pasti berjaya
Islam Islamkan gemilang … gemilang
Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (2X)

LAGU RASMI GURU PASTI MALAYSIA

Kami ini guru-guru PASTI
Dengan ilmu kami berbakti
Mendidik generasi masa kini
Akhlak mulia idaman kami

Berpegang teguh dengan Al-Qur’an
Menabur bakti penuh kesungguhan
Dengan satu tekad mencari keredhaan
Hingga anak PASTI cemerlang gemilang

Guru maju terus melangkah
Guru mara membimbing ummah
Demi Islam kami berjuang
Inilah ikrar kami semua

Allahu Robbuna
Al-Rasul qudwatuna
Al-Qur’an dusturuna
Al-Jihad sabiluna

Allah Tuhan kami
Rasul ikutan kami
Al-Qur’an panduan kami
Jihad jalan kami